//sliding pictures

Wednesday, November 6, 2019

0

Pengajaran menggunakan tool MangaHigh, MathPlayground, and Prodigy



Hai dan apa khabar semua?

Saya Muhaimin dari MRSM Johor Bahru. Hari ini saya akan berkongsi pengalaman saya menggunakan teknologi interaktif dalam pembelajaran & pengajaran saya. Sebenarnya, dalam dunia maya harini ini, kita dibekalkan dengan aplikasi dan bahan interaktif yang sangat banyak. Bukan itu sahaja, malah, sumber ini juga berjaya menarik minat pelajar dalam pembelajaran.

Lebih menarik apabila aplikasi-aplikasi ini bukan sahaja sekadar permainan, bahkan, ada juga yang mampu menyediakan laporan lengkap pencapaian dan keupayaan pelajar untuk pantauan guru. Menarik, bukan?

Perkembangan teknologi hari ini lebih menggalakkan pelajar berasa lebih bersemangat untuk belajar perkara-perkara baru yang mengelilingi mereka. Sebagai guru matematik, subjek STEM menjadi suatu beban fokus yang kritikal yang perlu diterapkan dengan baik kepada pelajar kami. Terdapat banyak aplikasi yang membantu dalam pdpc matematik di luar sana, dan saya menggunakan 3 aplikasi ini untuk pdpc saya:

1. MangaHigh
2. Mathplayground
3. Prodigy Game

MangaHigh Math

MangaHigh Maths merupakan aplikasi yang sangat  bagus. Ia medium yang sangat mudah untuk pengedaran  tugasan, sesuai dengan tahap pelajar, serta bahan tugasannya sudah siap disertakan di dalamnya dan bersifat permainan interaktif matematik. Wow!

 

                                                                                                                                                         
Dalam menggunakan aplikasi ini, guru akan diberi satu akaun dan perlu memasukkan maklumat kelas dan mendaftarkan pelajar mereka. Setelah akaun siap, saya membuat persiapan pengajaran topik nombor perdana secara teori. Setelah mereka memahami dengan baik, saya meminta mereka untuk daftar masuk akaun masing-masing.


Dalam akaun tersebut sudah tersedia pelbagai tugasan berbentuk permainan dan guru hanya perlu memilih dan edarkan tugasan permainan tersebut kepada pelajar-pelajar yang sudah daftar dalam MangaHigh.

Selepas klik ‘assign’ dan pilih topik yang kita mahu pelajar jawab, pelajar akan menerima tugasan tersebut apabila mendaftar masuk ke akaun masing-masing. Dan mereka akan mula menjawab(baca: bermain) tugasan tersebut dalam tempoh yang guru tetapkan.


....

Ia sememangnya seperti permainan biasa, tetapi sangat menguji ketangkasan mereka berfikir dalam menyelesaikan permasalahan matematik. Dengan kata lain, pelajar akan memaksa diri mereka untuk mengetahui topik yang diajar supaya mereka dapat memenangi dan merasa puas dengan permainan tersebut, walhal, permainan ini sebenarnya merupakan tugasan mereka.

Sambil bermain sambal siapkan tugasan,menarik bukan?

Satu perkara lagi yang menarik berkaitan bahan ini adalah, para guru boleh mendapat laporan tugasan tersebut dengan mudah tanpa perlu membuat analisis secara manual. Hal ini kerana, MangaHigh akan terus menyediakan laporan Analisa untuk rujukan guru. Guru boleh terus menilai pencapaian mereka berdasarkan tugasan permainan tersebut.


Berdasarkan rajah di atas, kita boleh lihat berapa orang yang lulus dalam permainan(tugasan) tersebut dan berapa orang yang tidak melepasi kefahaman yang baik tentang topik nombor perdana.

Selain info visual melalui laman web, kita sebenarnya boleh muat turun laporan tersebut dalam bentuk dokumen ‘microsoft Excel’. Wah, ini lebih mudah bagi guru-guru. 😊


......



MathPlayground

Aplikasi ini juga merupakan salah satu medium interaktif bagi meningkatkan rasa minat pelajar terhadap topik yang diajar. Umumnya, MathPlayground adalah laman web berasaskan permainan.

Sebagai guru, anda boleh memilih topik-topik yang berkaitan dengan sukatan pelajaran yang di ajar. Serius! Terlalu banyak.

Semasa saya menjalankan kelas ini, saya telah mengajar konsep transformasi objek(matematik) yang mana memerlukan kemahiran memantul dan memusingkan objek mengikut arah yang diminta soalan.
Topik ini sangat biasa dalam SPM dan IGCSE, tetapi masih ramai pelajar yang merasakan topik ini begitu sukar.

Jadi, saya telah menggunakan sumber interaktif seperti ini bagi mengasah kemahiran mereka secara berterusan.
..

Rajah di atas adalah contoh soalan yang perlu mereka jawab di mana ia melibatkan proses memusingkan objek(biru cerah) mengikut arah lawan jam dengan ukuran 90 darjah. Mereka perlu mewarna imej bagi objek tersebut di tempat yang tepat pada ruang di sebelah kanan.

Mereka sekaligus akan belajar sendiri dan soalan tidak pernah kehabisan. Pada masa yang sama, guru tidak perlu membuat salinan fotokopi soalan terlalu banyak sehingga melakukan pembaziran kertas.
Mudah tak? Ini lebih menjimatkan kos dan masa!


Prodigy


Dalam era teknologi baru ini, pelbagai perkembangan teknologi berlaku, termasuklah dalam industri E-sport iaitu permainan secara online. Anak-anak muda lebih suka mengahabiskan masa mereka  dalam permainan elektronik seperti gajet dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga sukakan persaingan dan perlumbaan. Jika kita lihat norma ini, barangkali ada antara kita yang melihatnya sebagai suatu yang negatif  sebab mereka menghabiskan masa mereka bermain permainan elektronik tersebut.
Apakata kita gunakan kecenderungan mereka ini sebagai manfaat dalam Pendidikan mereka?Pasti menarik bukan?

Di luar sana, kebanyakan anak muda suka bermain permainan yang bersifat ‘role play game(RPG)’ seperti PUBG, Mobile Legend, dan sebagainya. Tanpa kita sangka-sangka, sebenarnya sudah terdapat permainan game RPG dalam dunia Pendidikan hari ini. Bahkan, terlalu banyak.

Saya telah cuba menggunakan permainan Prodigy, di mana ia merupakan permainan berasaskan siri perjalanan seorang hero(pelajar) dalam mengharungi musuh mereka. 


Dan mereka perlu menawan beberapa Kawasan. Dalam perjalanan mereka, mereka akan berhadapan dengan pelbagai musuh-musuh kecil, jadi, untuk menggunakan setiap kuasa, mereka perlu menjawab beberapa soalan matematik, barulah mereka berupaya menyerang musuh.

..

Sebelum pelajar bermain, mereka perlu mendaftar mengikut senarai ID pengguna dan kata laluan yang diberi oleh guru. Setelah itu, mereka boleh mula daftar masuk dan mencipta avatar mereka sendiri. Maka, bermulalah perjalanan mereka sebagai hero menakluk dunia.

Jika bermain dengan tangan kosong, mereka pasti kalah sebab mereka memerlukan kalkulator juga dan semakin jauh perjalanan mereka, semakin banyak soalan-soalan matematik yang mencabar untuk melawan musuh mereka.

...


Apa yang menarik juga berkaitan dengan permainan ini adalah, guru boleh memantau tahap penguasaan topik mereka. Rajah di bawah menunjukkan tahap penguasaan topik berdasarkan permainan prodigy tersebut.



Bukan itu sahaja, malah guru juga berupaya memantau huraian lengkap penguasaan setiap individu(pelajar). Contoh di bawah merupakan data tahap kemahiran pelajar bernama Aiena Amira.

Mudah kan? Pelajar bukan sahaja bermain ‘game’ malah sebenarnya mereka sedang dipantau juga terhadap tahap penguasaan mereka dalam matematik. Hal ini akan mengurangkan  masa guru-guru dalam membuat analisis terhadap pelajar-pelajar mereka.


=======================================================

Alhamdulillah, begitulah ceritera kelas interaktif saya dan mendapat makluman yang sangat baik.
Saya sangat gembira jika pelajar saya seronok belajar.  :-) 


Feedback:






Gambar Aktiviti:








Video:



0 comments: